suria

Kontrak Ahmad Fuad Sebagai Datuk Bandar KL Dilanjutkan Setahun Lagi

Tan Sri Ahmad Fuad Ismail
Tan Sri Ahmad Fuad Ismail
Tan Sri Ahmad Fuad Ismail

PETALING JAYA: Tan Sri Ahmad Fuad Ismail disahkan akan memikul tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk tempoh setahun lagi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memberitahu StarMetro bahawa kerajaan bersetuju untuk memperbaharui kontrak Ahmad Fuad selama setahun.

Pengesahan Raja Nong Chik itu akhirnya menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Fuad yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Kontrak Ahmad Fuad dilanjutkan selama setahun bermula 15 Julai hingga Julai tahun hadapan. Ini bermaksud tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan menjadi tiga tahun setengah," kata Raja Nong Chik.

Ahmad Fuad akan menjangkau usia 58 tahun pada 15 Julai ini dan dijangka bersara.

Bagaimanapun, spekulasi sama ada kontraknya akan dilanjutkan tersebar luas memandangkan ramai berpendapat tempoh perkhidmatannya selama dua tahun sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur masih belum cukup memberikan sebarang impak terhadap pembangunan di bandar raya ini.

Memandangkan beliau sudah biasa dengan aspek pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan terlibat dengan beberapa projek pembangunan sekitar bandar raya ini, sumber berkata kerajaan merasakan perlantikan Datuk Bandar yang baru bukan langkah baik untuk dilaksanakan sekarang.

Ahmad Fuad mengambil alih tugas Datuk Ab Hakim Borham pada 14 Disember 2008.

Beliau mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam sektor awam, tujuh daripadanya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Apabila dihubungi, Ahmad Fuad berkata beliau masih belum menerima surat rasmi berhubung perkara itu dan enggan memberikan komen lanjut.

Artikel Lain