KUALA LUMPUR: Beberapa pusat beli-belah di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini, yang terjejas akibat perhimpunan haram semalam, beroperasi seperti biasa pada Ahad dan menerima kunjungan ramai.Tinjauan Bernama mendapati selain membeli belah, orang ramai turut mengunjungi pusat hiburan dan restoran sebagai cara menghabiskan cuti hujung minggu mereka. Seorang pengunjung setia Lot 10, Yap Kian Boon, 30, dari Bangsar berkata beliau sangat gembira dapat menghabiskan masa hujung minggu bersama isteri serta dua anak perempuannya."Semalam, saya ingat nak habiskan masa membeli belah bersama isteri dan dua anak perempuan kami di sekitar Kuala Lumpur tapi saya terpaksa batalkan hasrat itu kerana kebanyakan jalan ditutup disebabkan perhimpunan haram," katanya.Yap, yang bekerja sebagai pegawai bank, berharap perhimpunan itu tidak berulang pada masa depan dan mahu polis mengambil tindakan keras terhadap penganjur perhimpunan kerana menjejaskan aktiviti seharian orang ramai.Bagi juruteknik, R. Muniandy,28, dari Jalan Klang Lama, beliau turut gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama isterinya, S. Kavita dan ibu bapanya hari ini setelah rancangannya tergendala semalam."Semalam saya merancang bersama mereka untuk membeli-belah di Bukit Bintang dan Chow Kit tapi bila saya baca akhbar bahawa banyak jalan ditutup, saya batalkan rancangan itu," katanya sambil melahirkan perasaan marah terhadap perhimpunan semalam.Pandangan Muniandy itu turut dikongsi penuntut jurusan perakaunan Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Siti Hasfiza Zainol, 23.Beliau yang memuji tindakan polis dalam mengawal keadaan perhimpunan itu sekaligus menjamin keselamatan orang ramai untuk melakukan pelbagai aktiviti di ibu negara."Saya merancang bersama beberapa rakan saya untuk mengurangkan tekanan belajar dengan keluar membeli belah dan menonton wayang di Pavillion namun saya khuatir dengan keselamatan diri setelah membaca akhbar mengatakan akan berlaku suatu perhimpunan beramai-ramai."Tindakan cekap polis mengawal keadaan semalam sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kebimbangan saya dan rakan-rakan untuk membeli belah pada hari ini," katanya.Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi di Lot 10, Alvin Yap, 30, pula berkata syarikat itu menerima kunjungan ramai pelanggan pada Ahad berbanding semalam."Perniagaan dalam bangunan ini (Lot 10) juga beroperasi seperti biasa semalam namun tidak semeriah seperti hari-hari sebelumnya. Hari ini orang pun ramai yang datang membeli-belah di sini," katanya.Pegawai perkhidmatan pelanggan bas pelancong KL Hop On Hop Off Azim Mokhtar, 30, berkata syarikat itu tidak mengadakan perkhidmatan semalam setelah dimaklumkan jalan-jalan utama di sekitar ibu negara ditutup."Kalau jalan dah tutup macam mana syarikat nak bawa pelancong? Sebab itu pihak pengurusan syarikat suruh berhenti operasi semalam walaupun kita tahu memang ada pelancong yang suka naik bas ini untuk melihat pemandangan indah di Kuala Lumpur," katanya yang kecewa dengan perhimpunan haram itu.Sementara itu, Mike Johnston, 37, dan isteri, Jennifer, 35, dari Texas, Amerika Syarikat berkata percutian mereka di sini terganggu dengan perhimpunan haram itu."Semalam kami merancang untuk ke Bukit Bintang dan KLCC tetapi pemandu teksi tidak mahu membawa kami ke sana kerana banyak jalan ditutup," kata Mike.- BERNAMA