suria

496 CCTV Di 28 IPD & 25 PBT Bagi Cegah Jenayah

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mencegah jenayah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memasang 496 kamera litar tertutup (CCTV) di 28 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 25 Ibu pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.

Menteri berkenaan Datuk Chor Chee Heung berkata, pemasangan CCTV itu, yang melibatkan kos RM11.8 juta merupakan inisiatif kerajaan dalam mengatasi jenayah melalui pemantauan selama 24 jam sehari di semua lokasi terutama di kawasan "hot spot".

Projek pemasangan CCTV di 25 PBT dan 28 IPD itu, yang siap pada April tahun ini, merupakan fasa pertama oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan, katanya.

"Dengan pemasangan itu, saya ingin meminta semua PBT yang telah dilengkapi dengan CCTV supaya menjalankan sepenuhnya sistem berkenaaan dan berharap kedua-dua pihak memberikan perhatian lebih serius ketika menyediakan pasukan kerja bagi memantau bilik pusat kawalan di organisasi masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan CCTV kepada PBT dan PDRM di sini, Khamis.

Dengan pemasangan CCTV itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan kadar jenayah sebanyak 35 peratus berbanding 20 peratus yang disasarkan sebelum ini.

Chor berkata, fasa kedua pemasangan CCTV di PBT lain di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan bermula hujung tahun ini dan dijangka siap November tahun depan.

"Pelaksanaan projek CCTV fasa dua nanti akan melibatkan perluasan pemasangan CCTV terutamanya di negeri-negeri dan PBT yang belum mempunyainya sekaligus menunjukkan tahap komitmen kerajaan dalam mencegah jenayah di seluruh negara, " katanya. - BERNAMA

Artikel Lain