SEREMBAN: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata ada pihak tertentu yang kini sengaja memfitnah dan memburukkan polis agar orang ramai hilang keyakinan terhadap pasukan itu.Beliau berkata tindakan berbentuk hasutan itu harus dihentikan segera atau berdepan dengan tindakan kerana perbuatan mereka turut menjejaskan nama negara. "Jika mereka masih meneruskannya, kita akan fikirkan tindakan yang akan kita ambil terhadap mereka. Mana yang melampau itu kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.Khalid berkata antara cerita yang tersebar ialah polis berlaku ganas dan zalim kepada mereka yang berhimpun secara haram di ibu negara pada 9 Julai lepas."Apa yang sebenar dibuat oleh polis pada perhimpunan Bersih 9 Julai lepas ialah melaksanakan tanggungjawab kita dalam menguatkuasakan undang-undang...itu saja. Kita tidak buat lebih daripada menguatkuasakan undang-undang yang ada di negara kita."Jadi, saya seru pada masyarakat supaya jangan terpengaruh dengan dakyah dan fitnah mereka ini yang sengaja ingin rakyat percaya bahawa polis bertindak zalim, ganas dan sebagainya," katanya.Mengenai desas-desus perhimpunan serupa akan diadakan sekali lagi, Khalid berkata tidak salah untuk pihak berkenaan berhimpun asalkan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan."Hantar permohonan dulu dan kita akan proses permohonan mereka. Jika perhimpunan ini dibuat mengikut landasan undang-undang yang betul, insyaAllah, kita akan beri kebenaran dan kita akan sokong lagi...kita akan beri bantuan lagi," katanya.Bagaimanapun kata beliau, jika diketahui penganjur sengaja hendak berhimpun di jalanan dengan niat mencetuskan kekacauan maka polis tidak akan membenarkannya. BERNAMA