suria

12 PATI Cuba Masuk Di Sandakan

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menggagalkan cubaan 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini selepas bot laju yang mereka naiki ditahan di Sungai Batu Tiga dekat sini, Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd Ali berkata PATI dari negara jiran itu terdiri daripada tujuh lelaki dan lima perempuan berusia antara 12 hingga 48 tahun.

Katanya anggota risikan PGM yang membuat pemantauan dan intipan di sungai itu menahan bot laju yang dinaiki oleh PATI berkenaan pada pukul 10.20 malam.

"Ketika diperiksa kesemua mereka dipercayai dari Filipina termasuk juragan bot yang berusia 42 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata 11 PATI itu ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama empat bulan dan sekali sebatan.

Katanya juragan bot itu pula disiasat di bawah Seksyen 55A (1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan tidak lebih enam sebatan.

Walaupun operasi pendaftaran program 5P (pendaftaran, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) oleh Jabatan Imigresen sedang dijalankan di negeri ini, PGM akan terus menjalankan operasi bagi membanteras kemasukan PATI dari negara jiran, kata Fadzil. - BERNAMA

Artikel Lain