KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia Sabah berjaya menahan seorang warganegara Malaysia yang membawa dadah jenis ketamin seberat 5.8 kilogram disembunyikan dalam bagasi semasa tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2, kira-kira pukul 5 petang Ahad.Dengan barang rampasan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM104,000, kes ini merupakan rampasan dadah terbesar oleh Jabatan tersebut bagi tahun ini. Timbalan Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Sabah Hamzah Sundang berkata suspek yang berumur 26 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan, juga dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa."Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya. Jika disabit kesalahan hukumannya gantung sampai mati. Suspek akan direman bermula hari ini," katanya pada satu persidangan media di sini Isnin.Dalam kejadian semalam, hasil daripada pemantauan dan penilaian risiko terhadap penumpang-penumpang yang baru tiba daripada Shenzhen, China, melalui penerbangan AirAsia, unit pemeriksaan penumpang Jabatan tersebut telah menahan suspek selepas bagasinya diimbas melalui mesin pengimbas di balai ketibaan lapangan terbang tersebut."Selepas bagasi diperiksa, didapati terdapat lapan paket beg plastik lutsinar, yang diletak dalam satu 'secret compartment'. Setelah diuji menggunakan kit ujian dadah didapati ianya positif dadah jenis ketamin."Suspek mendakwa seorang ahli perniagaan dan pasport menunjukkan suspek keluar dari Malaysia melalui Kuala Lumpur untuk ke China pada 17 Julai sebelum kembali ke negara melalui Kota Kinabalu pada 31 Julai (semalam)," kata Hamzah, sambil menambah rekod pasport juga menunjukkan ini kali pertama suspek keluar dari Malaysia.Menjawab satu soalan, katanya pihaknya tidak dapat mengesahkan sekiranya dadah itu adalah untuk edaran di Sabah kerana berdasarkan pemeriksaan, suspek hanya mempunyai tiket penerbangan untuk pergi ke Kota Kinabalu, maka hala tuju selepas itu tidak diketahui. - BERNAMA