suria

Agong Berbuka Puasa Bersama Anggota Kabinet Dan Perwakilan Asing

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada Rabu berangkat ke majlis jamuan berbuka puasa bersama menteri Kabinet dan perwakilan asing di Istana Negara di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun tidak hadir pada majlis itu kerana sedang berehat selepas menjalani pembedahan lutut Isnin lepas.

Hadir sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Duta asing yang hadir termasuk dari Arab Saudi, Kuwait, Tanzania, Afghanistan, Iraq, Indonesia, Brunei dan Jordan.

Majlis berbuka puasa itu diikuti dengan solat Maghrib serta solat Isyak dan solat Tarawih yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain