ALOR SETAR: Seorang wanita rakyat Thailand ditahan bersama 11 ketulan mampat dadah dipercayai jenis ganja bernilai kira-kira RM33,000 di Stesen Bas Shahab Perdana, di sini pada Sabtu lepas.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah Supritendan Baharom Othman berkata operasi dilakukan pasukan JSJN Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah selepas menerima maklumat awam dan juga intipan. "Semasa operasi 8.30 malam itu, wanita berumur 28 tahun terbabit berada dalam keadaan mencurigakan dan di sebelahnya terdapat sebuah beg pakaian. Kami kemudian memeriksa beg pakaian suspek dan menjumpai 11 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 11 kilogram," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.Beliau berkata tidak ada dokumen pengenalan diri ditemui pada wanita tersebut yang dipercayai mahu menuju ke Kuala Lumpur berdasarkan tiket bas yang ada padanya.Pemeriksaan awal juga mendapati suspek bukan pertama kali datang ke Malaysia semasa ditahan, malah sering keluar masuk negara ini dan boleh berbahasa Melayu, katanya."Kita percaya dadah yang dibawa suspek adalah dari negaranya dan ia mungkin melibatkan satu sindiket. Mungkin dia (suspek) dijadikan keldai dadah," katanya.Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori."Suspek direman shingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA