suria

Apabila deejay suka menjerit

Rozita Che Wan
Rozita Che Wan
Rozita Che Wan

RADIO adalah satu medium hiburan kepada kebanyakan penduduk dunia. Orang mendengar radio terutamanya ketika memandu kenderaan. Dalam kenderaanlah kita akan mendapat banyak informasi dan maklumat yang disampaikan oleh deejay-deejay.

Malah melalui radio juga kita dapat mengetahui lagu-lagu baru yang di hasilkan oleh artis-artis kita. Kebanyakan kita mengakui radio pada hari ini mempunyai kepentingan kepada manusia.

Ketika dunia penyiaran radio berkembang pesat, stesen-stesen radio juga mempunyai macam-macam strategi untuk menarik perhatian dan rating pendengar.

Bayangkanlah kalau dahulu hanya seorang deejay sahaja berada di studio tetapi hari ini sudah sampai tiga atau empat orang. Agaknya kalau dalam masa sepuluh tahun akan datang, tak mustahil satu bas deejay mengendalikan sesebuah siaran radio.

Saya tidak hairan pun berapa orang deejay akan bertugas pada satu-satu masa untuk menghiburkan peminat jika pendekatan itu mampu menarik perhatian pendengar kerana stesen radio pada hari ini lebih mementingkan nilai komersial.

Tapi sayang sekali saya perhatikan ada deejay yang kerjanya menjerit. Daripada mula bersiaran sehinggalah tamat, tak habis-habis dia menjerit, terpekik terlolong macam orang kena sampuk.

Adakah ini amalan seorang deejay yang baik? Pendengar mahu mendengar celoteh deejay yang mampu menghiburkan mereka dengan gaya dan corak penyampaian yang menarik. Tapi sayang sekali apabila terdapat sesetengah stesen radio yang memperkenalkan pendekatan lain sehingga menyebabkan telinga pendengar menjadi sakit.

Saya malas nak sebut stesen radio mana tetapi saya percaya stesen berkenaan akan memahami maksud tulisan saya ini.

Paling naik muak apabila deejay-deejay yang bertugas itu “bergaduh-gaduh” di antara satu sama lain. Orang itu mengata orang ini, orang ini mengata orang itu. Kalau sekali dua tu boleh dimaafkan lagi tapi jika saban hari benda yang sama saja berlaku, pendengar mana yang tak jadi muak?

Tidak semua orang sukakan jeritan dan leteran. Deejay perlu faham waktu mana nak menjerit dan waktu mana hendak ketawa.

Saya menerima banyak rungutan daripada pendengar yang sakit hati dengan pendekatan stesen radio seperti itu.

Saya cakap mudah saja, di Malaysia ini banyak stesen radio. Kalau tak suka, tukar kepada stesen lain. Apa nak susah?

NIEZAM: Sukar dengar bicara cinta Deejay Lin di Suria FM.

Untunglah lelaki-lelaki muda

SAYA tersenyum apabila membaca cerita Rozita Che Wan lebih cenderung memilih lelaki bujang yang muda sebagai calon suami. Ya... Rozita sekarang berumur 38 tahun. Sebenarnya usia itu taklah tua sangat pun.

Kata Rozita dia tak percaya kepada lelaki-lelaki berusia kerana mereka suka mengongkong. Lelaki yang berusia juga menurut Rozita tak “gentleman” sebab tak berani meluahkan perasaan suka kepadanya.

Jawapannya senang saja. Lelaki yang lebih tua sebenarnya bukan tak “gentleman” dan bukan tak berani tetapi akal mereka lebih panjang berbanding lelaki-lelaki muda.

Lelaki berusia akan berfikir 10 kali untuk mengurat Rozita kerana kebanyakan mereka sudah berumah tangga. Kalau mereka mahu berkahwin dengan Rozita, Rozita kena bersedia untuk menjadi yang nombor dua atau nombor tiga dan bersedia juga untuk kena tarik rambut.

Saya percaya, lelaki yang sudah berusia romantiknya lebih dahsyat daripada anak-anak muda atau dalam istilah hiburan dipanggil “anak ikan”.

Kalau tak percaya tanyalah pelakon Zizie Ezette bagaimana romantiknya Datuk Bung Mokhtar dengannya.

Dan kalau nak tahu bagaimana risikonya percintaan lelaki muda, tanyalah juga dengan pelakon Rosnah Mat Aris yang berhadapan dengan macam-macam ujian sebelum ini tetapi syukurlah, rumah tangganya bahagia sampai sekarang.

Faktor muda atau tua bukanlah penentu kepada keupayaan seseorang itu untuk bergelar pasangan yang baik sebaliknya kepercayaan dan kasih sayang yang luhur amat penting.

Saya faham isi hati Rozita yang sedang mencari kasih sayang sebenar selepas sekian lama bergelar ibu tunggal.

Tapi persoalannya sekarang adakah lelaki muda yang sedang Rozita kenali sekarang ini mampu memenuhi impian Rozita?

Apatah lagi kalau lelaki muda yang kerjayanya tidak begitu stabil, tentu sekali ia akan menimbulkan banyak masalah kepada Rozita.

Apa-apa pun saya percaya hari ini lelaki-lelaki muda atau “anak-anak ikan” di luar sana tersenyum gembira dengan pendirian Rozita itu.

Dan saya juga percaya tak mustahil lepas ni kalau Rozita berjalan di Bukit Bintang, ada orang akan berebut-rebut nak pelawa Rozita naik motor RXZ mereka.

NIEZAM: Janda pun apa salahnya...

Ujian buat Nurul

Saya simpati dengan penyanyi Nurul Wahab yang menerima kritikan berikutan imej seksinya untuk iklan produk pelangsingan badan. Kononnya dia tak hormat bulan Ramadan.

Saya faham, Nurul tiada niat untuk mempersendakan Ramadan. Malah gambar itu diambil sudah lama cuma syarikat pengeluar produknya itu menggunakannya untuk Aidilfitri pada bulan ini. Nurul menjadi mangsa keadaan daripada syarikat yang mahu menggunakan kecantikannya dalam menjual produk mereka.

Sayang sekali, akhirnya Nurul yang dikecam. Saya faham benar masalah Nurul. Tapi dia sebenarnya mempunyai hak untuk menasihati syarikat berkenaan mengenai imej yang hendak ditampilkan.

Bukannya apa, saya khuatir pandangan serong masyarakat terhadap Nurul selepas ini tanpa mereka mengetahui sebab musabab sebenarnya.

Kepada Nurul, ini mungkin ujian yang harus ditempuhi dan mudah-mudahan ia menjadi pengajaran berguna buat Nurul pada masa akan datang.

NIEZAM: Buat baik tapi tetap terkena.

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain