suria

Zahrain Pertikai Tindakan Sime Darby Beli 30 Peratus Saham E&O

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada Isnin mempertikaikan tindakan syarikat konglomerat terkemuka negara, Sime Darby membelanjakan RM776 juta untuk memiliki 30 peratus pegangan saham dalam syarikat pembangunan hartanah Eastern & Oriental (E&O) baru-baru ini.

Zahrain berkata, pelaburan Sime Darby yang tergesa-gesa itu menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam urusniaga membabitkan dana pemegang saham dengan jumlah besar.

"Kita maklum sebahagian besar saham E&O, selain 30 peratus yang diperolehi Sime Darby masih kekal di tangan warga asing termasuk seorang individu yang juga merupakan Pengarah Temasek Holdings, iaitu badan pelaburan kerajaan Singapura.

"Apakah kepentingan strategik kita dalam E&O dalam situasi pemilikan sedemikian? Ada pihak mempersoalkan jika tindakan Sime Darby adalah satu langkah 'bail-out' atau langkah menyelamatkan E&O ketika ekonomi global semakin merundum. Apakah persoalan ini ada asasnya," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti dan lembaga pengarah Sime Darby supaya tampil memberi penjelasan terperinci kepada rakyat dan pemegang saham khususnya mengenai pembelian saham E&O.

"Ada banyak keraguan di sini. Jadi mereka yang terlibat perlu membuat penjelasan... strategi korporat saja tidak mencukupi. Berdiam diri hanya akan terus mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Jelas Zahrain, perkara itu perlu dijadikan iktibar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain kerana kontroversi dan kerugian melampau RM1.2 bilion ditanggung Sime Darby masih lagi belum selesai.

Malah beliau turut mempersoalkan cara syarikat GLC menzahirkan pelan transformasi kerajaan (GTP) yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri sedar wujud kelemahan maka beliau membuat transformasi untuk memperbaiki kelemahan itu. Maka laungan transformasi perlu dipandang serius. Tidak ada gunanya apabila nasi sudah menjadi bubur," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan