suria

Anak Sedih Pengorbanan Bapa Di Bukit kepong Tidak Dihargai

KUALA TERENGGANU: Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam peristiwa Bukit Kepong merupakan satu penghinaan terhadap perjuangan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah pada tahun 1950 itu.

Bagi Azlas Jaafar, 62, anak Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, salah seorang anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, tindakan tersebut amat menyedihkan.

"Saya merasa amat sedih dengan dakwaan Mat Sabu itu, satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut pemimpin kanan PAS itu.

"Kenyataan yang dikeluarkan itu cuba memutar belitkan sejarah sehingga mengenepikan perjuangan anggota keselamatan sehingga ramai yang gugur ketika mempertahankan tanahair," katanya ketika kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di kediamannya di Kampung Cendering di sini, Rabu.

Azlas merupakan anak allahyarham Konstabel Jaafar, kini tinggal bersama ibu saudaranya Aminah Mohamad, 85, iaitu kakak kepada Konstabel Jaafar.

“Kalau komunis dikatakan pejuang sebenar untuk memerdekakan negara, jadi adakah anggota pasukan keselamatan itu pengkhianat?” katanya.

Sementara itu Ahmad menyelar sikap Mat Sabu yang dianggap sanggup memutarbelit fakta sejarah semata-mata kepentingan politik sempitnya.

"Janganlah memutar belit sejarah untuk mendapatkan sedikit laba politik dan saya merasa kecewa dengan dakwaan Mat Sabu itu yang merupakan satu kenyataan yang silap.

"Semasa peristiwa berdarah itu ada anggota polis dibunuh kejam, dibakar hidup-hidup dalam usaha komunis untuk menegakkan sebuah negara komunis," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain