ALOR SETAR: Seorang peniaga mendakwa abangnya dipukul oleh beberapa orang pegawai penjara Alor Setar semasa dalam tahanan dalam satu insiden pada 2 September lepas dan dinafikan hak mendapat pemeriksaan perubatan. Fadzillah Ahmad, 52, berkata abangnya Mohd Dzahir, 54, yang merupakan banduan akhir (menunggu hukuman dilaksanakan) dipukul dalam keadaan tangan digari dan ditiarapkan di markas Unit Khas Penjara (UKP) lebih setengah jam.Fadzillah berkata abangnya memberitahunya tentang kejadian itu semasa mengunjunginya untuk sambutan Aidilfitri kira-kira pukul 11 pagi 4 September. Beliau seterusnya membuat laporan polis. Katanya, beliau berjumpa pengarah penjara Alor Setar, Amir Shariffuddin Abdul Majid pada sebelah petang hari sama yang berjanji menyiasat insiden itu namun beliau (Fadzillah) percaya tiada tindakan diambil.Sementara itu, Bernama cuba mendapatkan pengesahan daripada Amir Shariffuddin, namun panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dijawab. -BERNAMA