suria

Bajet 2012: Kedah Akan Tingkat Peruntukan Bagi R&D

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan meningkatkan peruntukan bagi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian melalui Bajet 2012 yang akan dibentang tidak lama lagi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata perkara itu amat releven memandangkan sektor pertanian di negeri ini amat penting dan memerlukan kaji selidik secara berterusan agar dapat meningkatkan hasil pertanian yang tinggi pada masa akan datang.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menghantar beberapa anggota jawatankuasa daripada Kumpulan Ladang Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan negeri) ke Taiwan Ahad lepas agar mereka belajar mengenai sistem teknologi pertanian di negara itu dan mempraktikkannya kepada petani di negeri ini nanti.

"Di Amerika mereka tidak bergantung makanan dari negara lain kerana hasil pertanian yang dikeluarkan hanya untuk keperluan rakyat negara itu sendiri malah mereka juga turut mengeluarkan mesin berteknologi tinggi untuk kegunaan petani di negara itu sendiri," katanya pada perasmian Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di sini, Rabu.

Hari Peladang Penternak dan Nelayan yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman di sini bermula hari ini hingga 26 Sept, bertemakan 'Pertanian Berteknologi Tinggi Asas Kesejahteraan Rakyat'.

Mengulas mengenai tindakan syarikat feri penumpang di Langkawi yang menarik balik harga tiket istimewa bagi penduduk Langkawi yang ke tanah besar atau sebaliknya pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad, cuti umum dan cuti sekolah, Azizan berkata: "Kerajaan negeri hanya menyediakan tempat dan tidak terlibat dalam soal ini.

"Saya akan minta exco pengangkutan mengkaji mengenai isu itu dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah itu," katanya.

Pada Selasa, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di Langkawi mengadakan bantahan ekoran tindakan pengusaha feri penumpang yang menarik balik harga tiket istimewa kepada penduduk Langkawi sejak Jumaat lepas. - BERNAMA

Artikel Lain