KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri berharap empat anggota tentera Burundi yang terlibat dalam insiden tembakan yang menyebabkan kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, dikenakan tindakan sewajarnya.Menteri berkenaan Datuk Seri Anifah Aman berkata misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) pada 26 Sept lepas secara rasminya telah menyempurnakan siasatan penuh terhadap empat tertuduh, yang sebelum ini dikatakan menembak dan menyebabkan kematian Allahyarham dan mencederakan Ajis Saregar Mazlan, wartawan TV3 di Mogadishu pada 2 September lalu. "Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak AMISOM, Kementerian Luar Negeri akan terus mengikuti perkembangan ini sehingga ke empat-empat tentera Burundi yang terlibat, diadili dan dihukumi mengikut undang-undang yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.Beliau berkata pada 6 September lepas, Wisma Putra telah menerima laporan siasatan daripada pihak Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Somalia berhubung kes itu yang mendapati empat orang tentera Burundi bertanggungjawab terhadap kes itu."Bagaimanapun, laporan itu tidak sempurna kerana pihak polis Somalia tidak dapat mengambil kenyataan keempat-empat yang terlibat. Berdasarkan laporan polis Somalia, pihak AMISOM telah menjalankan penyiasatan dalaman dan mendapati bahawa keempat-empat yang dituduh itu didapati bersalah melepaskan tembakan ke atas Allahyarham (Noramfaizul)," katanya. Pada Isnin, AMISOM memohon maaf terhadap kejadian itu dan melucutkan mereka yang terlibat daripada menjalankan tugas pasukan pengaman dan akan dihantar pulang ke Burundi untuk dibicarakan.Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu. -BERNAMA