suria

Ana Dahlia, Hina Ke Jadi Janda?

Ana Dahlia dan Chef Riz
Ana Dahlia dan Chef Riz
Ana Dahlia dan Chef Riz

SAYA mengucapkan tahniah buat pelakon Ana Dahlia,28, dan anak Datuk Chef Wan iaitu Mohd Nadzri atau Chef Riz,30, yang akan bertunang pada 5 Oktober depan.

Hubungan pasangan itu mendapat restu Chef Wan. Dan syukurlah Chef Wan walaupun mulutnya macam ‘peluru’ tetapi hatinya baik. Kat Chef Wan Ana Dahlia itu janda ataupun tidak, dia tak kisah. Yang penting dia nak tengok anak-anaknya bahagia dengan pilihan masing-masing.

Semasa saya berborak dengan Chef Wan beberapa hari lalu, beliau membayangkan mahu mengadakan majlis pernikahan mereka itu dalam suasana kampung di Sungai Koyan, Raub, Pahang iaitu tempat Chef Wan dibesarkan.

Dan berita itu tentunya menggembirakan Ana Dahlia. Tengoklah... status tidak menjadi halangan buat chef selebriti ternama macam Chef Wan untuk menerima Ana menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Tetapi kenapa Ana harus malu dan berteka teki mengenai statusnya selama ini? Ana tak perlu nak sorok. Menjadi artis di Malaysia kalau terlalu banyak sangat main sorok sorok orang akan jadi menyampah.

Sepatutnya dari dulu lagi Ana tidak malu mengakui dia seorang janda ataupun pernah berkahwin.

Bergelar seorang janda tidak ada hinanya. Cuma dalam konteks penerimaan masyarakat di Malaysia ini sahaja berbeza. Ramai yang menganggap janda itu hebat dan ada pula berkata janda itu mendatangkan masalah.

Sebenarnya sama ada janda, duda, anak teruna atau anak dara, jika kita tak buat masalah, tidak datanglah masalah itu kepada kita.

Malah janda adalah individu yang paling mulia dan mendapat pengiktirafan sebenarnya. Nabi Muhammad S.A.W juga bernikah dengan seorang janda.

Seharusnya Ana tidak perlu malu kerana statusnya itu. Malah dia sepatutnya berasa hebat walaupun bergelar janda tetapi hatinya berjaya dicuri oleh seorang anak teruna.

NIEZAM: Teruna lagi youuu!

Yusof Haslam langgar pantang

HARI Rabu lalu saya berkesempatan menghadiri majlis resepsi persandingan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur.

Saya terserempak pengarah jutawan terkenal Datuk Yusof Haslam yang segak memakai sut hitam memenuhi tema hitam putih pada malam itu.

Saya terpandang beliau mengeluarkan sesuatu daripada dalam poket. Bukan pistol, bukan juga duit tapi sebuah telefon bimbit “zaman tok kaduk”.

Saya pun terus menghampiri beliau. Saya kata; “Ehh Datuk... dah langgar pantang? Dah pakai hand phone?”

Saya pun terus ketawa apabila melihat jenama telefon yang saya pernah guna lima tahun lalu. Telefon jenis itu sekarang ini saya simpan dalam almari. Gamaknya sudah dimakan tikus.

Datuk Yusof senyum kepada saya. Dia kata, dapat pakai telefon dah kira bertuah dah. Isterinya Datin Fatimah ada hadiahkan dia telefon Blackberry tetapi dia tak tahu guna.

Maka lebih baik dia guna telefon jenis lama yang nombornya pun boleh nampak sebatu.

Biarlah orang nak cakap jutawan macam dia pakai telefon cabuk pun dia tak kisah.

Saya pun ketawa sajalah. Saya tahu Datuk Yusof dah lama tak pegang telefon bimbit.

Bayangkan selepas 10 tahun baru dia terlepas daripada “hukuman” dan dibenarkan memakai telefon.

Telefon bimbit dalam kehidupan kita pada hari ini satu keperluan. Budak sekolah tabika pun dah tahu menggunakan telefon apatah lagi usahawan seperti Yusof Haslam. Tetapi telefon bimbit dalam diri Yusof mempunyai sejarahnya.

Saya teringat cerita beliau sebelum ini. Telefon dan SMS boleh buat orang bercerai berai. Memang benar pun.

Sekarang ini bukan saja telefon tapi dah ada Twitter dan Facebook pula. Kedua-dua medium teknologi itu mengundangkan masalah kalau disalahgunakan.

Ia juga menjadi tempat memaki hamun, meluahkan perasaan dan kutuk mengutuk. Ia sedang berlaku dalam dunia hiburan hari ini.

Dan bercerita mengenai telefon bimbit, kehidupan Datuk Yusof dulu pernah menjadi kacau bilau. Rumah tangganya hampir menjadi porak-peranda gara-gara gangguan yang diterimanya saban hari.

Yalah... Datuk adalah produser filem berjaya. Orang mana yang tak mahu mendekati beliau?

Masalah itulah menyebabkan hubungan Datuk dengan isteri agak tegang. Akhirnya dek kerana telefon yang menimbulkan masalah, beliau membuat keputusan mengharamkan penggunaan telefon bimbit selain mahu membuktikan betapa cinta dan kasihnya beliau terhadap Datin Fatimah seteguh tugu Taj Mahal.

Dan apabila tamat “sumpahan” itu, beliau akhirnya menggunakan telefon selepas mendapat lampu hijau daripada Datin. Kata Yusof, telefon yang dia gunakan sekarang hanya untuk wartawan dan orang-orang penting dalam industri sahaja.

Artis tak kiralah sama ada pelakon atau penyanyi tidak akan mendapat nombor telefon dia. Sebabnya dia sudah serik dengan gangguan-gangguan itu. Dia juga percaya teknologi yang ada sebenarnya akan menyusahkan banyak pihak. Jadi lebih baik ia digunakan seminimum yang mungkin.

Datuk Yusof telah membuktikan selama 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit, dia boleh ‘hidup’. Pendapat mengatakan kalau tak ada telefon kita akan ‘mati’ tidak benar sama sekali.

Kepada Datuk Yusof saya mengucapkan syabas disebabkan dua perkara. Pertama kerana sumpahannya sudah tamat dan kedua dia membuktikan kecintaannya hatinya terhadap isteri dengan meninggalkan kemajuan teknologi.

NIEZAM: Helo, lama tak dengar suara mu!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan