suria

12 Anggota Penyeludupan Dadah Ditahan

KUALA LUMPUR: Taktik sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang cuba menggunakan modus operandi terbaru dengan menyembunyikan dadah di dalam komputer riba, botol krim muka dan pembesar suara, memakan diri apabila mereka ditangkap sejurus tiba di lapangan terbang negara ini.

Dalam tujuh serbuan berasingan bermula dari 26 Sept hingga semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), seramai 12 warga asing termasuk seorang wanita diberkas bersama sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM2.17 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pertama di KLIA pada 26 September lepas pukul 4.30 petang, dua lelaki warga Nigeria ditahan bersama dua kilogram (kg) syabu yang disorok di dalam beg yang mengandungi trompet.

Beliau berkata pada 29 September, pukul 12.40 tengah hari di lokasi sama, seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana dipercayai menelan sejumlah dadah jenis syabu dan pemeriksaan di hospital mendapati di dalam perut suspek mengandungi ketulan-ketulan dadah.

"Sehingga kini sebanyak 25 ketul telah dapat dikeluarkan dan suspek masih ditahan di hospital untuk mengeluarkan semua ketulan dadah kerana dipercayai masih ada lagi dadah di dalam badannya," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, Selasa.

Noor Rashid berkata pada 30 Sept pula pada pukul 4.55 pagi di LCCT, polis menahan dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita Filipina serta merampas 4.58 kg heroin yang disembunyikan di dalam beg galas yang dipercayai untuk dibawa keluar ke negara lain.

Beliau berkata pada keesokan harinya, pada pukul 10.15 malam di KLIA, seorang lelaki warga Nigeria ditahan dan polis merampas 1.7 kg dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam botol-botol krim kecantikan muka.

Katanya pada hari yang sama, juga di KLIA, kira-kira pukul 1.15 pagi, empat lelaki warga Iran pula ditahan bersama sejumlah dadah berjumlah 2.7 kg yang disorokkan di dalam empat buah komputer riba yang di dalamnya telah diubah suai.

"Pada 2 Oktober, pukul 10.20 malam, juga di KLIA, polis telah berjaya menangkap seorang lelaki warga Nigeria dan merampas 0.74 kg syabu yang disembunyikan di dalam pembesar suara stereo.

"Meskipun tiga kes ini menggunakan modus operandi terbaru bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kita berjaya mematahkan aktiviti sindiket hasil pemantauan, dan risikan yang dibuat termasuk kerjasama dengan negara lain," katanya. Beliau berkata dalam serbuan terakhir iaitu pada 3 Oktober, pukul 3.20 petang di KLIA, polis merampas 3 kg syabu yang disembunyikan dalam beg pakaian dan menahan seorang lelaki warga Benin.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 41 tahun dan ada yang bekerja sebagai peniaga dan ada juga penuntut kolej swasta," katanya sambil menambah kesemua mereka kini direman sehingga 7 Oktober depan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu beliau berkata pihaknya sentiasa berusaha bagi membanteras kegiatan tersebut dan buktinya dari awal tahun hingga bulan Sept lepas, seramai 123,710 orang ditahan berbanding 121,746 pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi rampasan dadah jenis syabu pada tempoh yang sama, sebanyak 643.42 kg berjaya dirampas untuk tahun ini berbanding 610.88 kg tahun lepas, peningkatan sebanyak lima peratus.

"Manakala dadah jenis heroin menunjukkan peningkatan sebanyak 83 peratus di mana tahun ini sebanyak 443.05 kg berjaya dirampas berbanding 241.98 kg pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau dan meningkatkan pemeriksaan di kedua-dua lapangan terbang utama tersebut bagi membendung penyeludupan dadah oleh sindiket yang didalangi warga asing itu. -BERNAMA

Artikel Lain