KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sebahagian perkara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2012 adalah sama seperti yang terkandung dalam Belanjawan Pakatan Rakyat."Belanjawan Pakatan Rakyat telah dicedok tapi itu tiada masalah. Persoalannya sekarang mereka mesti ikhlas dalam melaksanakan apa yang dijanjikan. Mereka tidak boleh melakukannya dengan penyelewengan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Jumaat. Menurut beliau, daripada pelbagai isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat hanya sebahagian menerima maklum balas dari kerajaan terutamanya isu berkaitan permit teksi."Jelas apa yang dijanjikan Perdana Menteri cuba dilakukan untuk memancing undi rakyat pada pilihan raya akan datang," tambahnya.Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, kerajaan sedia ada perlu terlebih dahulu bersikap telus bagi menjamin pentadbiran yang lebih efisyen terutamanya dalam menangani gejala rasuah."Kelemahan paling besar ada tatacara pengurusan kerajaan pada hari ini yang tidak diperbetulkan. Selagi gejala rasuah dan penyelewangan tidak ditangani, soal transformasi tidak bermakna," katanya.Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata tambahan elaun yang diberikan terhadap Ahli Parlimen tidak perlu diberikan keutamaan pada ketika ini.Sebaliknya, beliau berkata, elaun tersebut sepatutnya diberikan kepada pegawai dan pembantu Ahli Parlimen."Saya rasa elaun kepada pegawai dan pembantu mereka lebih penting buat masa sekarang," katanya.Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turut berkata, elaun tersebut tidak perlu disegerakan tetapi peruntukan itu boleh digunakan untuk menyiapkan prasarana Parlimen yang sedang dalam proses pengubahsuaian."Saya juga berterima-kasih kepada Perdana Menteri kerana menyebut negara berkebajikan. Kita dapat reaksi baik dan akan terus mengemaskini dokumen negara berkebajikan Pakatan Rakyat," katanya.