suria

Bajet 2012: Suntikan HPV Percuma Untuk Wanita

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) bagi membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan kemudahan imunisasi mencegah kanser servik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kemudahan imunisasi yang bernilai sebanyak RM150 bagi tiga suntikan itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancangan Keluarga Negara (LPPKN).

"Untuk tujuan ini, peruntukan RM50 juta disediakan pada tahun 2012," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Sebagai usaha menjamin kesihatan para ibu dan anak, Najib turut mengumumkan pembinaan sebuah hospital khusus untuk golongan wanita dan kanak-kanak di Kuala Lumpur menerusi Belanjawan tersebut.

Perdana Menteri berkata hospital itu akan dibina melalui perkongsian awam swasta dengan kos sebanyak RM700 juta. Selain itu katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk melaksanakan program-program latihan bagi memenuhi keperluan dasar.

Sekurang-Kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan dalam Sektor Korporat.

Antara program yang akan dijalankan adalah melatih wanita yang berpotensi untuk menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi.

"Bagi menarik golongan profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, kerajaan juga akan menyediakan program latihan yang bersesuaian," katanya.

Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, Perdana Menteri berkata, peruntukan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) akan ditambah sekali ganda kepada RM300 juta berbanding RM120 juta pada tahun 2011.

Katanya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan RM2.1 bilion untuk pinjaman mikro kepada usahawan terutama wanita. "Daripada jumlah tersebut, RM100 juta disediakan untuk usahawan kaum India dan RM100 juta lagi kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM," katanya.

Najib berkata kerajaan juga mencadangkan agar surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian duti setem bagi mengurangkang kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro. -BERNAMA

Artikel Lain