suria

80 Peratus Masalah Kebutaan Disebabkan Katarak - Pakar

PETALING JAYA: Hampir 80 peratus masalah kebutaan berpunca daripada katarak, yang menyebabkan kanta mata ditutupi selaput, menurut seorang pakar mata.

Pengarah Perubatan Pusat Pakar Mata Centre for Sight, KPJ Healthcare Berhad, Dr Choong Yean Yaw berkata jika rawatan, seperti surgeri mata bagi pesakit katarak, tidak dilakukan pada peringkat awal penyakit itu, risiko untuk menjadi buta adalah lebih tinggi.

"Jika tidak dirawat awal, pesakit berdepan risiko menjadi buta sepanjang hayat," katanya kepada pemberita di sini, Rabu sempena majlis pengumuman pembedahan katarak percuma yang ditawarkan kepada 25 pesakit berumur daripada golongan yang memerlukan.

Pembedahan itu ditawarkan oleh pusat mata KPJ Healthcare Berhad dengan kerjasama Lions Club Kuala Lumpur, Bukit Kiara.

Setiap pesakit, yang kebanyakan berumur 50 tahun ke atas, akan menjalani pembedahan katarak bulan depan di Pusat Pakar Mata Centre for Sight, Taman Sea, di sini. Turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare Berhad Amiruddin Abdul Satar dan Presiden Lions Club Kuala Lumpur Bukit Kiara, Tan Gaik Im.

Sementara itu, Amiruddin berkata setakat ini, 221 pesakit berumur telah mendapat manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pusat kesihatan itu yang bermula pada 2007.

"Inisiatif ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama Lions Club, merupakan satu daripada banyak projek kemasyarakatan yang dianjurkan KPJ, dan kami berhasrat terus menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan menerusi pelbagai cara yang lain," katanya.

Beliau berkata program CSR itu diadakan sempena Hari Penglihatan Sedunia yang disambut dari 4 hingga 13 Oktober setiap tahun. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain