KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu sehingga tahun lepas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 telah dipinda sembilan kali sejak diperkenalkan pada tahun 1979.Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata awal tahun ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyemak semula akta berkenaan bagi memastikan ia selaras dengan cadangan meningkatkan umur persaraan dan juga penetapan gaji minimum. "Usaha dibuat untuk memastikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dapat dipertingkatkan."Perkeso dari masa ke semasa meneliti dan mengkaji semula peruntukan sedia ada dalam akta supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya ketika menjawab soalan Abdullah Sanusi Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, Rabu.Abdullah ingin tahu sama ada kajian dibuat terhadap kesesuaian peruntukan dalam Perkeso kerana ia telah lama dan tidak bersesuaian dengan kehendak semasa.Semasa menjawab soalan tambahan Abdullah sama ada Perkeso akan mengeluarkan penyata kepada pencarumnya, Maznah berkata perkara tersebut sememangnya diberi perhatian serius kerana pencarum perlu mengetahui potongan caruman mereka."Proses menaik taraf sistem teknologi maklumat Perkeso sedang dilaksanakan supaya apabila pindaan akta dibuat pencarum akan memperoleh penyata mereka," tambah beliau. Menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) sama ada Perkeso akan menetapkan kadar bayaran pampasan lebih tinggi kepada pencarum, Maznah berkata Perkeso membuat kajian aktuari setiap lima tahun sekali."Ia dibuat dengan mengambil kira kos-kos hidup semasa dan pada 2010 telah membuat pelarasan kadar pencen kepada pencarum dari 0.6 peratus kepada 11.3 peratus."Selain itu, Perkeso turut mengkaji beberapa faedah diberi seperti perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan kepada pekerja terlantar untuk memastikan kadar bayaran sesuai dengan kos sara hidup semasa," katanya. -BERNAMA