GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia menggesa semua pesara tentera dan veteran yang belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbuat demikian dengan segera bagi memastikan peranan mereka sebagai pejuang negara dapat dikekalkan.Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata setakat ini, kira-kira 30,000 veteran tentera didapati masih tidak berdaftar sebagai pemilih. "Adalah menjadi harapan kami agar semua veteran dapat mendaftar diri sebagai pemilih dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengundi mana-mana wakil yang mereka rasa boleh mewakili mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan perwakilan tahunan ke-85 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di sini, Sabtu.Beliau berkata semasa berkhidmat, veteran tentera mendaftar sebagai pengundi pos, namun selepas tamat perkhidmatan, ramai tidak mendaftar semula sebagai pengundi di tempat mereka bermastautin."Terdapat lebih kurang 300,000 bekas tentera di negara, tetapi hanya 172,000 yang berdaftar dengan JHEV, dan keadaan ini menyukarkan kita untuk mengesan siapa di kalangan bekas tentera yang masih belum mendaftar," katanya.Sementara itu, Yang Dipertua PBTM Pulau Pinang Rusli Zinol berkata terdapat kira-kira 2,500 veteran tentera yang tidak mendaftar sebagai pemilih di negeri tersebut."Untuk memastikan semua ahli PBTM mendaftar sebagai pengundi, lebih kurang 12 ahli PBTM telah dilantik sebagai penolong pendaftar SPR," katanya.Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pesara tentera akan mendaftar dengan PBTM, yang kini mempunyai kira-kira 11,000 ahli di Pulau Pinang.Terdahulu, Zulkiflee menyampaikan hamper kepada 110 pesara tentera dan anggota keluarga, 50 hamper kepada mereka yang menyambut Hari Deepavali dan dua kerusi roda kepada yang memerlukan. -BERNAMA