suria

Yuran Pengurusan Tanpa Kelulusan Sebabkan RM4.93 Juta Tidak Sampai Ke Golongan Sasar

KUALA LUMPUR: Giatmara Sdn Bhd (Giatmara) ditegur kerana mengenakan yuran pengurusan 10 peratus ke atas 1,086 program yang dijalankannya, tanpa kelulusan Kementerian Kewangan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah atau Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Berdasarkan Laporan Audit Negara 2010, pengenaan yuran pengurusan itu menyebabkan sejumlah RM4.93 juta tidak dapat disalurkan kepada golongan sasar yang ditetapkan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Giatmara.

"Pada pendapat Audit, GiatMara hendaklah menyatakan dengan jelas bahawa yuran pengurusan akan dikenakan terhadap program yang dikendalikannya dan memohon kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

"GiatMara sepatutnya memperincikan jenis perbelanjaan yang akan dijalankan dalam cadangan program untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan," demikian menurut laporan itu yang dikeluarkan Isnin.

Semakan Audit mendapati jumlah RM4.93 juta itu dikreditkan daripada perbelanjaan peruntukan untuk program tersebut sebagai hasil GiatMara.

Selain itu, semakan Audit juga mendapati GiatMara mebuat perolehan dengan nilai keseluruhan RM38.97 juta melalui pesanan pembelian atau lantikan terus tanpa melalui sebut harga atau tender, serta tidak mendapat kebenaran Kementerian Kewangan.

Perolehan terbabit bernilai antara RM5,040 hingga RM402,775.

Selain itu, 11 kursus yang dilaksanakan GiatMara dengan perbelanjaan berjumlah RM1.22 juta didapati tidak bersesuaian dengan keadaan tempat kediaman peserta kerana tiada kemudahan elektrik, memerlukan modal yang tinggi serta kekurangan permintaan.

Semakan Audit turut mendapati 18 daripada 140 peserta program Giatmara atau 12.9 peratus mempunyai pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan yang ditetapkan, manakala keadaan rumah kediaman peserta dan kemampuan memiliki kenderaan, menunjukkan peserta bukan dari golongan miskin atau miskin tegar.

Jabatan Audit Negara menyarankan agar Giatmara menjalankan kajian pasaran terhadap harga peralatan yang dibekalkan kepada peserta bagi memastikan harga berpatutan diperolehi.

Giatmara turut digesa mengawal bayaran kepada Tenaga Pengajar Dalaman dan Technology Provider supaya tidak wujud perbezaan harga yang ketara walaupun melaksanakan jenis kursus, bilangan peserta dan tempoh kurus yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain