suria

3,700 Kad i-Pass Telah Dikeluarkan Kepada Ekspatriat

PETALING JAYA: Sebanyak 3,700 kad-i Pass atau kad pengenalan untuk warga asing telah dikeluarkan kepada ekspatriat di negara ini, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Menurut Alias, pas tersebut yang dikeluarkan oleh jabatannya sejak September lalu bertujuan untuk memudahkan setiap pergerakan warga asing di dalam negara.

"Dengan adanya kad ini, mereka tidak perlu lagi membawa pasport untuk ke mana-mana di dalam negara. Kad tersebut juga mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti MyKad.

"Dan kita keluarkan kad ini pada kadar segera ketika pemohon datang mengambil pelekat pas pekerja," katanya kepada mStar Online.

Alias berkata, kad i-Pass berwarna emas akan dikeluarkan kepada golongan ekspatriat manakala kad berwarna merah jambu untuk pemegang Pas Residen.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 90,000 ekspatriat di kalangan golongan profesional yang bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam menetapkan tempoh dua bulan kepada golongan ekspatriat untuk mendapatkan kad tersebut secara percuma.

Mahmood Adam berkata, buat masa ini kad tersebut akan dikeluarkan kepada pemohon baru sebelum memperluaskannya kepada golongan ekspatriat yang telah sedia ada di sini.

"Pengeluaran kad-I pass adalah sebahagian daripada pelaksanaan proses pengampunan dalam program 6P. Pemohon hanya perlu datang ke Jabatan Imigresen untuk meperoleh kad tersebut," katanya.

Pada Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyerahkan kad tersebut kepada 11 tenaga kerja profesional asing di Putrajaya.

Pas Residen yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada April menawarkan tempoh menetap lebih panjang antara lima sehingga 10 tahun kepada golongan profesional asing berkemahiran tinggi yang bekerja di negara ini.

Artikel Lain