suria

85 Keluarga Hilang Tempat Berteduh Akibat Ribut

ALOR SETAR: Sebanyak 85 keluarga hilang tempat berteduh buat sementara setelah bumbung dan dinding rumah mereka diterbangkan ribut dalam kejadian di Taman Bersatu, Kuala Kedah dekat sini, Khamis.

Ribut yang disertai hujan lebat selama beberapa minit itu bermula kira-kira pukul 4.30 petang turut merosakkan 15 buah rumah yang lain. Hampir keseluruhan bumbung rumah-rumah terbabit diterbangkan angin.

Bagaimanapun tiada kemalangan atau kecederaan mangsa ribut dilaporkan berlaku.

Salah seorang mangsa, Mahathir Budin, berkata ketika kejadian, dia, isteri dan tiga anaknya sedang menonton televisyen di rumah.

"Kami terkejut apabila terdengar bunyi deruan angin kuat dan pada masa dapat melihat bumbung rumah kami diterbangkan angin," katanya semasa ditemui selepas kejadian itu.

"Kami meniarap atas lantai ruang tamu rumah untuk mengelak daripada ditimpa kayu atau bumbung. Saya juga sempat melaungkan takbir dengan harapan angin kencang reda," katanya.

Mahathir berkata selepas keadaan reda beliau keluar dan mendapati bumbung rumahnya dan jiran, kebanyakannya diterbangkan angin serta rosak.

Sementara itu, Umno Kuala Kedah membuat bancian untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa ribut tersebut.

Penyelaras Umno Kuala Kedah Syed Zainuzman Syed Yahaya Shahabudin berkata semua mangsa akan ditempatkan sementara di dewan Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memberi bantuan makanan kepada mereka. - BERNAMA

Artikel Lain