suria

APMM Wilayah Selatan Tahan Kapal Bersauh Tanpa Kebenaran Di Perairan Johor

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan sebuah kapal kerana didapati bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor barat, berhampiran Tanjung Piai, dekat Pontian, Khamis.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata kapal MV Glory River yang berdaftar di Singapura itu ditahan pada pukul 4.40 petang selepas kapal APMM, KM Marudu yang melakukan 'Operasi Satria Selatan' di perairan Selat Melaka menemuinya dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 4.2 batu nautika barat daya Tanjung Piai.

"Pemeriksaan mendapati kapten kapal itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran dari Ketua Pengarah Laut untuk bersauh di perairan Malaysia dan gagal membayar dius api. Kapal itu membawa 23 kru warga Filipina berumur 20 hingga 51 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zukifili berkata kapal itu disiasat mengikut Sesyen 491B(1)(I)Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 kerana gagal membayar dius api serta memaklumkan ketibaan bila berada di perairan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain