suria

BN Terus Kekal Sebagai Jenama Selagi Dapat Sambutan - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai satu jenama, Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sambutan rakyat selagi produk dan perkhidmatannya terus memenuhi kehendak masyarakat.

Perdana Menteri berkata kejayaan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BNYJF) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini merupakan antara bukti jenama BN masih mendapat sambutan khususnya di kalangan generasi muda.

"Inilah yang dikatakan pengisiannya dan sekiranya kalau ada pihak yang sangsi pada peringkat awalnya, kot-kot BN ini tidak boleh kita pasarkan lagi, maka kesangsian mereka itu tersasar dan meleset kerana BNYJF mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan," katanya semasa menutup program tiga hari itu pada Ahad.

Konsep jenama itu, kata Pengerusi BN itu, dapat juga diaplikasikan dalam pilihan raya terutamanya dalam melahirkan "calon boleh menang" yang boleh memastikan kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

Najib, yang juga Presiden Umno berkata, ini termasuklah dalam memastikan calon yang dipilih dapat berkhidmat dengan baik untuk rakyat dan menunaikan janji kepada rakyat.

"Jenama BN akan bermasalah sekiranya apa yang disediakan tidak seperti apa yang digambarkan. Kita perlu bekerja keras untuk memastikan jenama BN mencapai tahap yang dikehendaki rakyat," katanya.

Hadir sama Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

BNYJF yang dimulakan sejak Mac lepas telah menjelajah ke beberapa buah negeri seperti Kedah, Perak, Melaka, Sabah dan Kuala Lumpur, menyediakan lebih 70,000 peluang pekerjaan dengan 24,000 kekosongan berjaya diisi.

Najib berkata, sambutan yang diberikan terhadap karnival itu menepis dakwaan pihak pembangkang bahawa BN yang memerintah negara sejak merdeka, tidak lagi mendapat sambutan.

"Tetapi kalau kita sudah sedar perkara ini sepertimana yang disedari melalui BNYJF ini dan kita sediakan segala kemudahan yang baik termasuk perkhidmatan online dan sebagainya serta penyertaan yang begini menyeluruh maka BN akan tetap mendapat sanjungan daripada rakyat," katanya.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan laman portal kerjaya Pemuda BN yang menyediakan panduan kepada generasi muda berkaitan pekerjaan, perniagaan dan agenda negara yang bakal berfungsi sepenuhnya awal tahun depan.

Sementara itu, Khairy berkata penganjuran karnival kerjaya itu adalah antara pendekatan Pemuda BN dalam usahanya mendekati generasi muda.

"Karnival ini satu jalan penyelesaian, pemilikan rumah pertama juga adalah salah satu dari usaha kita ke arah itu. Dalam pada merancang strategi, kita telah menitikberatkan inklusif dan relevan, dan bukanlah sekadar memuaskan hati sendiri," katanya.

"Apa yang kami lakukan hari ini, adalah untuk mendekati generasi muda. Kita sudah ada "winnable PM" dan apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah memastikan "winnable BN"," katanya.

Beliau berkata karnival itu mampu memberikan pekerjaan kepada seorang daripada tujuh pengunjung yang hadir atau nisbah kejayaan 1:7. - BERNAMA

Artikel Lain