suria

Utusan Diberi Tempoh Fail Permohonan Batalkan Saman Pengikut Syiah

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) diberi tempoh sehingga 29 Nov ini untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan saman oleh seorang pengikut Syiah yang ditangkap dalam satu serbuan pada Disember tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T.Singham memberikan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Natisha Zainol Rashid yang mewakili syarikat akhbar itu supaya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan itu.

Hakim Singham juga menetapkan 14 Dis ini bagi mendengar permohonan Utusan untuk membatalkan saman Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz.

Mohd Kamilzuhairi memfailkan saman terhadap Utusan Melayu, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan Jais kerana didakwa menerbitkan kenyataan fitnah berhubung serbuan itu.

Pada 31 Oktober lepas, Hakim Singham membenarkan permohonan Muhammad Khusrin dan Jais bagi membatalkan saman itu dan memutuskan kenyataan yang dikeluarkan oleh defendan itu pada 16 Disember tahun lepas yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 17 Disember, tidak merujuk secara langsung atau tidak secara langsung kepada Mohd Kamilzuhairi atau mana-mana individu.

Bagaimanapun, Utusan tidak memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.

Pada prosiding hari ini, Natisha memberitahu mahkamah bahawa pihaknya masih menunggu arahan daripada Utusan bagi memfailkan permohonan itu dan memohon tarikh lain bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan itu.

Hakim Singham berkata sepatutnya peguam yang memberikan nasihat kepada anak guam mereka mengenai tindakan yang akan dibuat selanjutnya.

Ini kerana mahkamah sudah pun membatalkan saman Mohd Kamilzuhairi terhadap Muhammad Khusrin dan Jais pada 31 Oktober lepas.

"Mahkamah berikan tarikh lain seperti dipohon oleh peguam untuk memfailkan permohonan batalkan tindakan plaintif. Permohonan mesti difailkan sebelum atau pada 29 November," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wahabi Bukan Ajaran Sesat

Artikel Lain