suria

Amat Penting BN Dipilih Semula Untuk Jayakan Transformasi - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin menegaskan adalah "amat penting" bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) dipilih semula pada pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan parti menjayakan semua agenda transformasi yang dijanjikan.

Presiden Umno itu berkata, ini juga akan memastikan wawasan negara untuk muncul sebagai negara maju pada 2020 dapat diteruskan.

"Kita sudah memulakan perjalanan ini - (melaksanakan) transformasi ekonomi, politik dan sosial...Umno akan menerajui transformasi negara bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam BN, dan kita akan meneruskan perjalanan ini menuju Wawasan 2020.

"Tetapi kita berdepan sedikit cabaran di hadapan kita. Kita perlu melalui jambatan pilihan raya umum akan datang. Saya sentiasa menekankan bahawa ianya bukan tidak penting untuk dipilih semula, sebenarnya amat penting untuk dipilih semula. Untuk kita menjayakan transformasi sebenar, kita perlu dipilih semula," katanya.

Najib berkata demikian semasa merasmikan forum antarabangsa "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global" sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini.

Najib berkata, parti memerlukan sokongan daripada rakyat, dan untuk itu, ia perlu bekerja keras dan tidak hanya mencanangkan apa yang telah dilakukan oleh parti di masa lepas.

Sebaliknya, parti perlu menunjukkan keazaman dan keikhlasannya untuk memberikan yang terbaik untuk negara, pada masa sekarang dan di masa depan,katanya.

Berkongsi perjalanan Umno sebagai sebuah parti politik, Najib menyifatkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin lepas yang telah membuat keputusan berani dan berwawasan serta kesediaan parti untuk berubah sebagai rahsia kejayaan besar parti.

"Hakikatnya ialah sebagai sebuah parti politik, kita sudah berjaya melalui liku-liku itu, kita bersedia untuk melakukan transformasi dan bersedia untuk melakukan perubahan, bagi saya itu merupakan satu daripada rahsia kejayaan kita sebagai sebuah parti politik," katanya.

Umno, kini sudah berusia 65 tahun dan sebagai parti tunggak dalam gabungan Barisan Nasional (BN), telah berkuasa lebih 54 tahun secara berterusan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sarawak Dilantik Semula

Artikel Berikut

Artikel Lain