suria

Warga Nigeria Didakwa Peras Ugut RM10 Ribu

KUALA LUMPUR: Seorang warga Nigeria pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan mengugut seorang wanita dengan meminta wang RM10,000, bulan lalu.

Okungwu Chinenye didakwa mengugut seorang pegawai perancang bandar, Juliana Ahamat, 31, di Pejabat Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bandar Selamat, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jalan Cenderasari, Dang Wangi pada pukul 11.15 pagi, 9 Nov lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Chinenye, 27, juga didakwa terhadap pertuduhan kedua iaitu memiliki cop keselamatan Jabatan Imigresen Malaysia palsu, di dalam pasport Republik Ghana dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di PSN Puteri 1, Taman Puteri, Cheras pada 2.30 pagi, 12 Nov lepas.

Dia dituduh mengikut mengikut Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) Akta 155 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 56(1)(AA) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun.

Peguam Tharuma Ratnam yang mewakili Chinenye memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan jaminan, namun ia dibantah Timbalan Pendakwaraya M.Abu Hassan Ramli yang mewakili pihak pendakwaan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin tidak membenarkan warga Nigeria itu diikat jamin dan menetapkan 23 Dis ini untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain