suria

27 Kes Menyamar 'Pegawai Bank' Di Nibong Tebal Babitkan Kerugian RM550,000

NIBONG TEBAL: Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan satu sindiket yang akan menghubungi mereka dengan menyamar sebagai pagawai bank setelah 27 kes melibatkan kerugian RM551,954.34 dilaporkan.

Ketua Polis Daerah SPS Supt Shafien Mamat berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan menghubungi mangsa terutama pemegang kad kredit dan memaklumkan hutang perlu dilunaskan segera agar tidak dikenakan tindakan mahkamah.

"Anggota sindiket berkenaan akan menyamar sebagai pegawai bank dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran kad kredit yang tertunggak jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Shafien berkata mangsa yang takut akan mengikut semua arahan anggota sindiket sehingga menyebabkan wang dipindahkan dari akaun mereka ke akaun sindiket.

Beliau berkata siasatan mendapati, akaun sindiket dimiliki warga tempatan tetapi usaha mengesan tidak dapat dilakukan kerana kumulan itu menggunakan alamat palsu. - BERNAMA

Artikel Lain