suria

ADUN Bukit Gasing Meninggal Dunia

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP bagi Bukit Gasing Edward Lee Poh Lin meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada kira-kira pukul 4 pagi Selasa.

Naib presiden DAP Selangor Charles Santiago, ketika dihubungi Bernama berkata mendiang meninggalkan seorang isteri, Christina Lee dan tiga anak lelaki.

Keluarga mendiang yang belum memutuskan mengenai pengkebumian, berkata jasad Lee akan dibawa ke rumahnya di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada pukul 2 petang ini.

Lee, 64, penolong eksekutif EXCO Pelancongan, Hal Ehwal dan Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong, lebih dikenali sebagai aktivis sosial sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2008.

ADUN DAP buat penggal pertama itu menerima undi 15,735 pada pilihan raya umum lepas mengalahkan Datuk Dr Lim Thuang Seng daripada Gerakan dengan majoriti 8,812 undi.

Sementara itu, pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata Lee, yang juga anggota pengasas All Petaling Jaya Residents' Association Coalition, merupakan seorang ADUN yang dedikasi ketika memberikan khidmat kepada penduduk di kawasan pilihan rayanya.

Lee juga adalah anggota Jawatankuasa Khas Pilihan Kecekapan, Akauntabiliti dan Transparensi Kerajaan Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain