suria

Beri Peluang Kerja Kepada Golongan Gelandangan - YKN

KUALA LUMPUR: Dalam usaha membawa semula golongan gelandangan ke persekitaran kerja, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menjalinkan kerjasama dengan firma-firma tempatan untuk memecahkan stigma masyarakat agar golongan ini dapat diterima bekerja.

Daripada 386 orang yang telah berdaftar untuk mendapatkan perlindungan sementara kerajaan di bawah projek 'Anjung Singgah', hanya 136 yang berjaya ditempatkan dalam pelbagai kerja dalam sektor swasta.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan terdapat 1,387 orang kehilangan tempat tinggal berdaftar di Lembah Klang, tetapi jumlah penduduk sebenar yang tidak mempunyai tempat tinggal dijangka akan lebih tinggi berbanding kiraan rasmi.

"Tugas kami (membantu yang tiada tempat tinggal untuk mendapatkan pekerjaan) telah terbukti tidak mudah kerana akhirnya penerimaan masyarakat terhadap mereka adalah yang paling diperlukan.

"Ini memerlukan usaha setiap kaum dan masyarakat," kata Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail, yang mengetuai projek khas Anjung Singgah.

Beliau menyertai sidang akhbar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sayed Abdul Rahman Sayed Mohd, Khamis, selepas mengedarkan 500 pek gula-gula Krismas kepada pejalan kaki di Jalan Hang Lekiu yang terletak di ibu kota.

Anjung Singgah adalah projek Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menawarkan pusat sehenti dan bantuan terhadap mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal bagi tempoh sehingga dua minggu.

Di sana, mereka diberi tempat tinggal, makanan, kaunseling dan program-program motivasi sementara pegawai yayasan kebajikan menilai keupayaan dan membantu mereka mencari peluang pekerjaan supaya dapat berdikari.

Sayed Abdul Rahman berkata, pusat perlindungan tersebut telah menyediakan sebanyak 7,000 hidangan makanan kepada mereka yang tiada tempat tinggal sejak dilancarkan pada bulan April.

"Kebanyakan mereka (yang tiada tempat tinggal) mempunyai keupayaan untuk bekerja, tetapi satu cabaran yang lebih besar bagi kami adalah untuk membantu mereka mengekalkan pekerjaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain