KANGAR: Sebanyak 18 rangka motosikal dan dua unit penutup enjin kenderaan itu ditemui dalam Sungai Panggau dekat sini serta anak-anak sungai sekitarnya dalam Ops Lejang bagi menumpaskan kegiatan mencuri motosikal sepanjang minggu lalu.Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Md Zukir Md Isa berkata penemuan rangka motosikal dan penutup enjin itu adalah hasil tangkapan empat suspek termasuk seorang pelajar tingkatan empat antara 16 dan 20 Dis lalu di beberapa kawasan sekitar Kangar. Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis hari ini, beliau berkata mereka yang berumur antara 16 dan 25 tahun itu tidak memiliki rekod jenayah dan turut ditahan ialah mekanik dan penganggur."Kesemua motosikal itu dipercayai telah dicuri dan dilupuskan di sungai berkenaan serta anak-anak sungai sekitarnya manakala komponen utamanya telah diambil," katanya.Menurutnya kesemua rangka motosikal dan penutup enjin itu ditemui oleh pasukan bantuan Pasukan Gerakan Marin Pulau Pinang yang menyelam di sungai-sungai itu.Katanya 12 rangka motosikal yang ditemui ialah jenis Honda EX5 dan masing-masing tiga bagi rangka motosikal jenis Kriss dan Yamaha manakala dua penutup enjin tidak dinyatakan jenisnya.Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, katanya.Md Zukir berkata, polis juga sedang mengesan tiga lagi suspek berumur antara 19 dan lewat dua puluhan yang dipercayai anggota kumpulan yang sama dan berharap orang ramai akan memberi kerjasama berterusan kepada pasukan polis bagi mengesan mereka.Sementara itu, sebanyak 351 kes kecurian motosikal dilaporkan di seluruh Perlis dan 79 kes telah diselesaikan sejak Januari lepas hingga sekarang, katanya. - BERNAMA