suria

Usaha KIR1M Wajar Dicontohi Pihak Swasta Lain - Pelanggan

KUALA LUMPUR: Para pelanggan Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) menggesa pihak swasta lain supaya mencontohi usaha kedai tersebut menjual barangan runcit dan segar pada harga berpatutan dalam membantu kerajaan meringankan beban rakyat.

Tinjauan Bernama ke kedai KIR1M di Setiawangsa di sini mendapati kedai itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat, terutama kalangan suri rumah, kerana menawarkan barangan basah dan runcit pada harga berpatutan selain banyak pilihan.

Kebanyakan mereka berpendapat KIR1M, yang kedai pertamanya dibuka pada 9 Disember lepas, mampu bersaing dengan pasar raya lain.

Suri rumah Laily Yusof, 58, berkata sejak KIR1M dibuka, kedai tersebut menjadi tumpuannya untuk membeli barangan basah seperti ikan, ayam, daging dan sayur.

"Saya akan menjadikan KIR1M sebagai tempat membeli-belah yang wajib untuk dikunjungi kerana harga yang ditawarkan berpatutan, berkualiti dan segar semuanya," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata selain barangan basah, KIR1M juga menawarkan barangan keperluan asas lain seperti tepung, beras dan telur pada harga yang berpatutan berbanding harga di pasar raya lain.

Seorang lagi pengunjung, Azalina Shalmin, 28, yang pertama kali berkunjung ke kedai itu, berkata harga yang ditawarkan lebih murah sedikit daripada pasar raya dan ikan yang dijual juga kelihatan segar.

Seorang pesara, Abdul Hamid Dawi, 63, berkata inisiatif Restoran Ikan Bakar Sekinchan (RIBS) mengusahakan KIR1M harus dicontohi pihak swasta lain terutamanya golongan bumiputera dalam membantu kerajaan meringankan beban rakyat dan mampu membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Ini kerana jika kita lihat sekarang ini harga pasaran melambung tinggi dan barangan yang dijual di sini hampir sama di tempat lain tetapi perbezaan harga amat ketara (lebih murah) jika diteliti," katanya.

Abdul Hamid berpendapat dengan tertubuhnya KIR1M, pihak kerajaan mampu mengawal harga pasaran barangan keperluan asas dan akan menjadi daya saing kepada pasar raya lain pada masa akan datang.

KIR1M pertama yang dibuka itu menawarkan harga kira-kira 40 hingga 70 peratus lebih rendah berbanding harga ikan di pasaran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain