KUANTAN: Seorang lelaki mati lemas manakala anak lelakinya yang cuba menyelamatkannya hilang dihanyutkan ombak kuat di Pantai Sepat di sini, Ahad.Kejadian berlaku kira-kira 2 petang tadi ketika Zubir Othman, 57, dan seorang daripada anaknya bermain bola di pantai itu. Zubir ditemui mati lemas di tempat kejadian manakala anaknya Ahmad Zuhaimi, 32, seorang juruteknik komputer di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pekan dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan bapanya itu.Adik ipar Ahmad Zuhaimi, Norazimah Zakaria, 24, berkata ketika kejadian bapa mentuanya dan suaminya Ahmad Zuhaidi sedang bermain bola di pantai berkenaan."Bola itu kemudiannya dihanyutkan ombak ke tengah laut dan apabila ayah mentua saya mahu mengambilnya, dia didapati lemas, suami saya cuba untuk menyelamatkannya tetapi gagal akibat ombak kuat."Abang ipar saya, Ahmad Zuhaimi bergegas untuk membantu. Suami saya berjaya berenang menyelamatkan dirinya. Bagaimanapun, ayah mentua dan abang ipar saya hilang," katanya kepada pemberita.Pegawai Operasi Balai Bomba Kuantan Mat Yusoff Hamat berkata pihaknya menerima pangilan kira-kira 2.40 petang berhubung kejadian berkenaan."Mangsa (Zubir) berjaya ditemui oleh orang awam, namun telah meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi mangsa (Ahmad Zuhaimi) masih belum ditemui setakat ini," katanya.Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan 16 anggota bomba termasuk empat orang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggunakan sebuah bot dan dua jet ski dihentikan 7 malam ini dan akan disambung esok. BERNAMA