SHAH ALAM: Rakyat perlu berani menolak pemimpin yang takut menghadapi kebenaran dan cuba mencemari prinsip kedaulatan negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.Beliau berkata masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini, perlu bijak memilih pemimpin demi menjamin kesejahteraan negara yang telah dibina sekian lama oleh pemimpin terdahulu. "Malaysia tidak terbina dengan hanya satu hari. Perdana Menteri (sekarang) dan Perdana Menteri terdahulu telah berjuang lama untuk mewujudkan keadaan negara pada hari ini. Oleh itu, mereka wajar diberi penghargaan dan rakyat seharusnya tahu mengenang jasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen 1Malaysia di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, Sabtu.Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.Rais memberi ingatan itu sebagai mengulas tindakan sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melancarkan kempen perhimpunan pada tarikh Mahkamah Tinggi dijadual mengumumkan keputusan kes liwat membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini."Berani itu kerana benar dan takut kerana salah... contohnya seperti Datuk Seri Anwar (Ibrahim). Beliau merupakan pemimpin pada partinya... kalau dia tidak salah kenapa harus gunakan masyarakat untuk mempengaruhi keputusan mahkamah. "Pemimpin seperti inilah yang perlu kita tolak... sebab keputusan (mahkamah) belum keluar, tapi dia dah cabar sistem kehakiman, jadi nampak sangat dia tak berani nak hadapi keputusan mahkamah," katanya. - BERNAMA