SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan putus ibu jari kiri, selain mengalami kecederaan di bahagian lengan dan kepala ketika bergelut dengan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Park Avenue, di sini dalam kejadian awal hari Jumaat.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Hamdan Majid berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, empat penyamun dipercayai warga asing memecah masuk rumah itu ketika mangsa dan anggota keluarganya sedang tidur. Beliau berkata penyamun tersebut yang bersenjatakan parang, sabit, kayu dan pengunci stereng berjaya masuk selepas mengumpil pintu tepi rumah berkenaan."Bagaimanapun mangsa yang berusia 46 tahun bersama isterinya berusia 42 tahun dan dua anak lelaki mereka masing-masing berusia 17 dan 13 tahun terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi rumah mereka dipecah masuk," katanya ketika dihubungi, di sini, Jumaat.Hamdan berkata salah seorang anak mangsa kemudian menjerit meminta tolong, mengakibatkan salah seorang penyamun berkenaan marah.Panik dengan jeritan itu, katanya, penyamun terbabit cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan isterinya dengan penyamun-penyamun tersebut.Akibat pegelutan itu, mangsa mengalami kecederaan sehingga putus ibu jarinya selepas terkena sabit yang dibawa penyamun itu selain kecederaan lain, manakala isterinya cedera di jari manis."Penyamun berkenaan sempat meragut seutas rantai daripada salah seorang anak mangsa sebelum melarikan diri selepas pergelutan itu. Siasatan awal mendapati tiada barangan lain yang diambil dari rumah itu," katanya.Jeritan anak mangsa yang meminta tolong turut didengari oleh jirannya K. Jeganath, 51, yang kemudiannya pergi ke rumah mangsa."Ketika itu saya sedang tidur dan terdengar jeritan orang minta tolong dari rumah sebelah. Saya mendapati mangsa dan isterinya terbaring dan saya terus menghantar mereka ke hospital," katanya.Dalam pada itu, Hamdan berkata mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan bagi menyambung semula jari yang putus manakala isterinya menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur.Katanya polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun mendatangkan kecederaan. - BERNAMA