suria

41 Pemandu Kenderaan Perdagangan Disaman Memandu Melebihi Had Laju

KUALA LUMPUR: Empat puluh satu pemandu kenderaan perdagangan disaman kerana memandu melebihi had laju dalam operasi perangkap laju di Km457.8 Hentian Rehat Sungai Buloh (HRS), arah Selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan tengah malam Sabtu.

Ketua operasi Deputi Superitendan Mohd Dali Wahid berkata, operasi itu yang dijalankan oleh Trafik Bukit Aman menjelang Ops Sikap ke-25 mensasarkan kenderaan perdagangan, di mana sebanyak 39 saman dikeluarkan kepada pemandu bas manakala dua saman kepada pemandu lori.

“Operasi ini menumpukan kepada kenderaan perdagangan yang memandu melebihi had laju dengan merekodkan kelajuan maksimum 124 kilometer per jam (km/j) bagi bas sementara lori 118km/j berbanding kelajuan ditetapkan iaitu 90km/j.

“Bagaimanapun, operasi ini turut membabitkan pemandu kenderaan lain yang didapati melakukan kesalahan dan polis telah mengeluarkan sebanyak 71 saman kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan lain,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata, bagi kesalahan lain yang membabitkan kereta dan motosikal antaranya melibatkan kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan, cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh dan lampu kenderaan tidak berfungsi sepenuhnya,” katanya.

Mohd Dali berkata, operasi bermula pada pukul 11.45 malam (14 Jan) melibatkan 33 orang anggota termasuk enam pegawai dari Trafik Bukit Aman.

“Kita mula mengesan dan merakam pemandu lori dan bas yang memandu melebihi had laju dari Kuala Kangsar, Bukit Tagar dan Slim River, Perak pada 10 malam tadi sebelum menaham mereka di sini,” katanya.

Katanya, operasi itu berakhir pada 5 pagi. Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara lebih berhemah dan mematuhi had laju tidak kira di siang atau malam hari kerana ia sebenarnya merupakan langkah awal bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya. - BERNAMA

Artikel Lain