PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyifatkan keputusan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil alih portfolio hal hhwal agama daripada PAS merupakan keputusan terbaik.Ketua Penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, adalah wajar apabila persoalan agama yang menjadi isu hangat di Selangor sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri itu pada 2008 diuruskan oleh menteri besar. "Angkatan Muda Keadilan Selangor ingin menyatakan sokongan kepada keputusan Menteri Besar mengambil alih portfolio agama daripada exco sebelumnya."Setelah hampir empat tahun kerajaan negeri Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat, persoalan agama menjadi persoalan runcing yang sering menjadi perbahasan besar di kalangan pimpinan parti politik dan masyarakat akibat daripada tindakan terdesak Umno Selangor," katanya menerusi kenyataan media di sini, Jumaat.Rabu lalu Abdul Khalid mengumumkan rombakan kecil dalam Exco Kerajaan Negeri Selangor berikutan pelantikan exco baru daripada PAS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang digugurkan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri ekoran pemecatannya sebagai anggota PAS.Mengulas lanjut Saifullah berkata, perubahan portfolio khususnya berkaitan hal ehwal agama juga sebagai langkah bagi menangkis pelbagai isu termasuk murtad, tauliah agama serta kuil yang sering dibangkitkan Umno dan Barisan Nasional (BN)."Umno dan BN sering menggunakan isu agama seperti isu kuil, murtad, pentauliahan sebagai modal untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat."Justeru adalah wajar aspek-aspek yang melibatkan portfolio agama ini diberi perhatian khusus kepada pimpinan tertinggi kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor," katanya.