TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina pada malam hari Rabu lepas kerana memasuki negara ini secara haram.Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau, Kapten Wan Mohd Affandi Wan Ahmad berkata kesemua PATI yang berumur antara satu hingga 65 tahun itu ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika dari bandar Semporna hasil pemeriksaan bot jenis Kumpit yang mereka naiki dari Pulau Setangkai, Filipina. "Bot berkenaan sarat dengan 18 orang penumpang (terdiri daripada lelaki, perempuan serta kanak-kanak) dan empat orang awak-awak serta seorang juragan yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah."Bot yang dinaiki juga tidak diwartakan sebagai bot penumpang seperti dalam lesen Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah (JPDS)," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Tawau bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63. -BERNAMA