KUALA LUMPUR: Yayasan Taqwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menafikan dakwaan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang ia menggunakan dananya bagi membiayai program politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.Sambil menolak dakwaan itu, yang disiarkan sebuah portal berita dan akhbar pembangkang, Yayasan Taqwa menjelaskan ia tidak terbabit dalam isu pemberian atau bantuan bumbung, rumah terbuka hari raya, bantuan kepada anak muda, membiayai bantuan mesin rumput dan pam racun kepada penduduk Jerai menggunakan sumbernya. "Semua butiran dan jumlah perbelanjaan serta sumbangan yang dibangkitkan adalah daripada sumber Laporan Tahunan MAIWP 2010 yang telah diaudit dan disahkan."Laporan audit ini dibuat mengikut garis panduan, peraturan dan undang-undang negara sedia ada, MAIWP telah diaudit oleh juruaudit luar, juruaudit MAIWP dan Jabatan Audit Negara serta mendapat pengiktirafan audit bersih sejak 2007 sehingga kini," kata yayasan itu dalam satu kenyataan di sini.Ia turut menjelaskan RM2 juta, yang dibangkitkan sebagai perbelanjaan pentadbiran berlebihan, sebenarnya meliputi semua perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program atau yayasan itu bagi tempoh setahun. Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa memberi fokus kepada dasarnya untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada mereka yang layak menepati kehendak syarat serta prosedur.Yayasan itu juga terlibat dalam misi membantu masyarakat Islam secara 'outreach' di Kemboja, Vietnam, Selatan Thai dan Indonesia."Program dan aktiviti Yayasan Taqwa meliputi aspek pendidikan, dakwah dan kebajikan termasuk kecemasan. Yayasan ini memainkan peranannya membantu masyarakat ummah secara menyeluruh dan mengagihkan sumbernya secara berhemah," kata kenyataan itu. -BERNAMA