KOTA BAHARU: Seramai 28,000 rakyat di Kelantan sudah menerima bantuan di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang melibatkan peruntukan RM1.4 juta sejak skim itu dilancarkan 10 Januari lepas.Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Datuk Makhtar Mustapha berkata mereka adalah daripada 198,000 permohonan yang telah diluluskan untuk menerima bantuan tersebut sebanyak RM500 seorang. "Jumlah penerima ini masih kecil jika dibandingkan dengan sasaran kerajaan untuk membantu 300,000 ketua keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000 di negeri ini," katanya kepada Bernama, Sabtu.Makhtar berkata mereka yang layak tetapi belum mengemukakan permohonan perlu segera menyerahkan permohonan kepada JPPK atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)."Kita sedang melancarkan program pengagihan bantuan ini setiap hari di semua kawasan dengan kerjasama penghulu dan penggawa yang dilantik."Kita menjangkakan program ini dapat diselesaikan sehingga Mac ini termasuk menyemak semula permohonan rayuan oleh individu yang ditolak permohonan mereka sebelum itu," katanya.Makhtar berkata borang rayuan yang lengkap diisi dengan melampirkan dokumen yang diperlukan perlu diserahkan segera kepada jabatannya atau LHDN untuk semakan semula. - BERNAMA