ALOR SETAR: Pergerakan Wanita Umno yakin kaum ibu yang mewakili kira-kira 53 peratus pengundi akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata keyakinan itu bersandarkan kepada maklum balas rakyat yang tidak berpuas hati dengan pakatan pembangkang kerana gagal mengotakan manifesto pilihan raya umum lepas. "...rumusannya janji tinggal janji. Rakyat akan tetap tuntut kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang menunaikan janji mereka," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya (Jalinan Rakyat)Pergerakan Wanita BN Kedah, di sini, Sabtu.Sementara itu mengulas persiapan Wanita Umno, Shahrizat berkata pada amnya sayap tersebut telah bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13.Mengenai konsep Jalinan Rakyat, beliau berkata menerusi kaedah itu Wanita Umno akan bergandingan dengan semua parti komponen BN menjayakan setiap program termasuk menjelajah dari rumah ke rumah.Ini bermakna tiada lagi usaha bersendirian, katanya. - BERNAMA