suria

22 Ditahan Ketika Sedang Leka Berjudi

SEREMBAN: Polis menahan 19 lelaki dan tiga wanita yang sedang leka berjudi dalam serbuan berasingan ke atas dua premis yang menjalankan kegiatan mesin judi berkomputer di sekitar Seremban, di sini Isnin. Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri itu, 63 set komputer dan wang pertaruhan berjumlah RM820 dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 42 tahun.

"Serbuan pertama dilakukan pukul 5.30 petang semalam di sebuah premis di Jalan Tuanku Munawir, dan menahan enam orang dan merampas 29 set komputer serta wang pertaruhan RM510.

"Manakala di serbuan kedua pada 8 malam di sebuah lagi premis di Taman Sri Mawar di Senawang, 16 orang yang asyik bermain komputer dipercayai berjudi ditahan dan 34 set komputer dan wang pertaruhan RM310 dirampas," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Hamdan berkata, polis menahan dua lelaki penjaga kepada premis yang diserbu itu, seorang daripadanya warga asing.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun jika sabit keselahan. Serbuan berakhir pukul 11 malam dilakukan hasil maklumat orang awam disertai bersama anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain