KUANTAN: Lapan anggota Koperasi Permodalan Felda (KPF) pada Jumaat memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang koperasi itu daripada membuat sebarang keputusan pada mesyuarat agung luar biasanya (EGM) pada 22 Februari ini.Ini adalah tindakan ketiga yang diambil terhadap KPF selepas Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) memohon injunksi bagi menghalang EGM KPF diadakan pada akhir tahun lalu dan 22 Februari ini. Peguam Mohd Haris Abdullah yang mewakili kumpulan peneroka berkenaan, ketika ditemui pemberita, berkata permohonan injunksi itu adalah bagi menghalang KPF daripada melupuskan sama ada kesemua atau sebahagian daripada ekuiti KPF dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).Antara alasan permohonan adalah cadangan KPF untuk melupuskan ekuiti miliknya dalam FHB dan anak-anak syarikat yang lain bernilai RM3.13 bilion ke FGVH tidak menguntungkan mereka dan pemegang saham KPF.Satu lagi alasan ialah perwakilan yang akan bermesyuarat pada 22 Feb ini tidak pernah diberi mandat oleh anggota KPF untuk mewakili mereka pada EGM itu nanti. -BERNAMA