suria

ASK Umum Dividen 2.1 Sen Seunit

ALOR SETAR: Amanah Saham Kedah Berhad (ASKB) mengumumkan pengagihan pendapatan Tabung ASK pada kadar 2.1 sen seunit atau pulangan sebanyak 7.9 peratus bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2012.

Ketua Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya Ameer Ali Mohamed berkata pulangan pendapatan itu berdasarkan harga Tabung ASK pada RM0.2651 pada awal tahun kewangan tersebut.

Dalam satu kenyataan di sini pada Rabu, beliau berkata seramai 26,882 pemegang unit berdaftar yang melanggan 132 juta unit Tabung ASK sehingga akhir bulan ini layak menerima agihan pendapatan itu berjumlah RM2.77 juta.

"Agihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2012 datang dari Tabung ASK yang menjana pendapatan kasar sebanyak RM3.69 juta dan keuntungan hasil jualan saham-saham tersenarai berjumlah RM2.46 juta atau 66.7 peratus.

"Pendapatan dividen syarikat-syarikat tersenarai pula berjumlah RM0.90 juta atau 24.4 peratus manakala keuntungan simpanan dalam pasaran wang Islam berjumlah RM0.33 juta atau 8.9 peratus," kata Ameer Ali.

Beliau berkata kemampuan ASKB mengagihkan pendapatan tersebut hasil penstrukturan semula Tabung ASK antara Mac dan Ogos 2010 membabitkan penjualan saham-saham yang menanggung banyak kerugian, disimpan terlalu lama dan tidak berpotensi.

"Penstrukturan ini memberi kekuatan kepada Tabung ASK untuk melabur dalam saham-saham fundamental yang kukuh termasuk menjadi tumpuan semasa, tanpa dibebani pegangan saham-saham 'legacy' yang bukan pilihan pelabur, tambahnya.

Ameer Ali berkata ASKB tidak mengagihkan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir Februari 2011 kerana keperluan mengurangkan kerugian yang banyak semasa proses penstrukturan berlaku.

Tabung ASK dilancarkan pada 1995 adalah tabung amanah ekuiti yang mematuhi Syariah, menawarkan perkhidmatan pengurusan pelaburan melalui amanah saham dan portfolio.

ASKB ialah syarikat milik penuh kerajaan Kedah melalui Permodalan Kedah Berhad (PKB). BERNAMA

Artikel Lain