suria

103 GRO Ditahan

SEREMBAN: Seramai 103 pelanggan yang sedang menikmati layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing, ditahan polis dalam serbuan serentak ke atas empat premis hiburan di Taman AST di sini, malam Sabtu.

Dalam operasi yang dilakukan Jabatan Sisatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri itu, pihak berkuasa turut menahan 103 GRO warga asing yang bekerja di premis-premis hiburan terbabit.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri ACP Hamdan Majid berkata kesemua pelanggan tersebut adalah lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.

"Semua GRO itu pula terdiri daripada 90 warga China, 12 Vietnam dan seorang dari Filipina berusia antara 21 dan 45 tahun," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya ketika serbuan dilakukan, semua GRO berkenaan yang sedang leka melayan pelanggan masing-masing tergamam dan beberapa orang daripada mereka cuba melarikan diri dengan bersembunyi di dalam 'lubang tikus'.

Bagaimanapun Hamdan berkata pasukannya yang diketuai ASP Yusharifuddin Mohd Yusop berjaya mengesan taktik itu sebelum menahan wanita-wanita terbabit.

Katanya siasatan awal mendapati wanita-wanita tersebut masuk ke negara ini dengan cara yang sah tetapi telah menyalahgunakan pas lawatan mereka dengan bekerja di premis-premis terbabit.

"Ada di antara wanita ini menyalahgunakan pas lawatan sosial, pas pelajar dan permit bekerja di bidang industri dengan bekerja sebagai GRO di kelab malam berkenaan," katanya.

Katanya kesemua pelanggan dibebaskan selepas diambil keterangan, manakala wanita GRO itu pula ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen kerana bekerja tanpa permit yang sah. BERNAMA

Artikel Berikut

103 GRO Ditahan

Artikel Lain