KUALA LUMPUR: AirAsia X, unit tambang murah jarak jauh AirAsia memutuskan untuk menggantung perkhidmatannya di laluan Kuala Lumpur-Christchurch-KL sebagai sebahagian daripada pelarasan rangkaiannya untuk memberikan tumpuan kepada pasaran teras. Dalam satu kenyataan Isnin, AirAsia X menjelaskan, penerbangan empat kali seminggu di antara KL dengan Christchurch itu akan digantung selepas penerbangan akhir pada 30 Mei (dari Kuala Lumpur) dan 31 Mei (dari Christchurch).AirAsia X berkata, ia akan menawarkan pilihan pengembalian wang sepenuhnya, perjalanan ke destinasi AirAsia X yang lain seperti Australia ke Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur ke Asia Utara, atau tempahan semula penerbangan pergi balik sebelum 31 Mei, kepada pelanggan-pelanggannya yang telahpun membuat tempahan awal. "Semua perubahan akan dibuat tanpa melibatkan kos tambahan untuk mengurangkan kerumitan akibat pemberhentian perkhidmatan itu dan pelanggan-pelanggan yang terlibat akan menerima e-mel menyatakan opsyen-opsyen yang ada," kata syarikat penerbangan itu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azran Osman-Rani berkata, keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan ke Christchurch itu dibuat untuk memberikan tumpuan strategik kepada pasaran-pasaran yang telah stabil dan menguntungkan oleh AirAsia X. Beliau berkata, laluan tersebut telah mencapai prestasi yang kukuh dari segi permintaan sejak pelacarannya pada April 2011, dengan catatan hampir 80 peratus pengisian penumpang pada 2011."Bagaimanapun, laluan itu menerima kesan daripada kos bahan api kapal terbang yang semakin meningkat."Harga bahan api telah meningkat lebih 30 peratus dan masih berada pada paras yang sangat tinggi," tegasnya.Azran menambah, kos bahan api yang tinggi telah menjejaskan keupayaan syarikat itu untuk menawarkan tambang murah. - BERNAMA