suria

Wanita Mahu Siasatan Terhadap Anggota Polis Didakwa Sebabkan Kecederaan Cucu Dipercepatkan

GEORGE TOWN: Seorang wanita pada Jumaat memohon polis mempercepatkan siasatan terhadap seorang anggotanya yang didakwa melempar topi keledar ke jalan raya sehingga menyebabkan cucunya jatuh daripada motosikal di Jalan Teluk Bahang di sini 4 Mac lepas.

Zaleha Mohd, 56, berkata keluarganya ingin tahu status kes itu memandangkan kejadian itu sudah dua minggu berlalu manakala cucunya mengalami kecederaan serius pada bahagian lutut dan bahu.

"Mak cik cuma tidak puas hati bila mereka (polis) tidak beritahu apa tindakan seterusnya. Mak cik ada tanya semalam di Balai Polis Balik Pulau dan mereka beritahu perkara ini akan disiasat dan Pendakwa Raya akan mengambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini.

Cucu beliau Mohd Afiq Rozaimi, 18, adalah antara 15 remaja yang sedang menunggang motosikal secara berkumpulan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang apabila anggota polis berkenaan melempar topi keledar ke jalan raya untuk menahan mereka, menyebabkan Mohd Afiq dan lima yang lain jatuh.

Ekoran kejadian itu, lebih 100 orang penduduk kampung berkenaan mellontar batu ke arah Balai Polis Teluk Bahang kerana berang dengan tindakan anggota polis terbabit.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid berkata siasatan berhubung insiden itu masih berjalan dan polis telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung.

Susulan kejadian itu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain