suria

APMM Tahan Kapal Asing Bersih Sisa Minyak Pepejal Secara Haram

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan sebuah kapal tangki asing yang sedang melakukan kerja pembersihan sisa minyak pepejal secara haram tidak jauh dari perairan Kota Tinggi malam semalam.

Kapal tangki MT Fortune dipercayai dari Batam, Indonesia itu ditahan pada kira-kira 11 malam di kedudukan 3.4 batu nautika selatan Tanjung Stapa Pengerang, Kota Tinggi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata bot APMM sedang melakukan rondaan rutin ketika terserempak dengan kapal tangki itu.

"Semasa bot APMM menghampiri, kapal tersebut berada dalam keadaan mencurigakan, apabila anggota kita berjaya menghidu bau minyak, dipercayai ada aktiviti sedang dilakukan atas kapal terbabit.

"Ketika anggota bot APMM menaiki kapal itu, beberapa kru kapal sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tangki tanpa menyedari kehadiran kita," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Adon berkata pemeriksaan mendapati ada 11 kru warga Indonesia di atas kapal itu, selain 300 hingga 400 guni sisa minyak pepejal di geladak atas kapal.

Beliau berkata kapten kapal itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen serta kebenaran bagi melakukan pemindahan sisa minyak pepejal terjadual.

"Mereka juga didapati gagal melaporkan ketibaan kapal dalam perairan negara. Kita percaya mereka melakukan aktiviti mencuci tangki pada waktu malam hingga awal pagi bagi menggelakkan dari dikesan pihak berkuasa APMM," katanya.

Adon berkata kes itu akan diserah kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar Johor untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata APMM pula akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Dius Api, iaitu bersauh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain